Oleh : Ustazah Majidah (Pegawai Bahagian Penerbitan,Jakim)
Majalah Pendidik keluaran Januari/ Februari 2010
Tahukah
adik-adik, pada hari pertama Tahun 2010, telah terjadi keajaiban yang
diperkatakan oleh para ahli astronomi sebagai peristiwa pertama yang
berlaku sejak ribuan tahun. Selain itu, dalam 15 hari pertama tahun
baru, kita masih dapat melihat hujan meteor, serta pemandangan ajaib
dari gerhana matahari yang juga sudah lama tidak berlaku.
Gerhana Bulan Ketika Blue Moon
Gerhana
bulan pada kali ini terjadi pada 1 Januari 2010 pada jam 3.24 pagi
waktu Malaysia. Seluruh proses telah berlangsung selama satu jam.
Gerhana pada kali ini sangat menarik kerana ia berlaku ketika fenomena
di panggil Blue Moon. Fenomena ini amat jarang berlaku iaitu setiap
lebih kurang 2.5 tahun. Lebih menarik, fenomena ini juga sangat jarang
berlaku pada awal tahun baru Masihi iaitu setiap 19 tahun. Mengikut
maklumat dari NASA, untuk 1000 tahun akan datang, kombinasi Blue Moon
dan gerhana bulan akan berlaku hanya 11 kali sahaja, atau sekali dalam
setiap 19 tahun. Betapa besarnya kuasa Allah SWT. Semasa kejadian ini,
Jakim, Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) dengan kerjasama Masjid Negara,
Kuala Lumpur mengadakan Program Pencerapan gerhana bulan separa di
perkarangan Masjid Negara.
Gerhana Matahari Cincin
Pada
15 Januari 2010 (Jumaat) pula berlaku satu fenomena alam yang cukup
menakjubkan iaitu gerhana matahari Cincin (Annular). Gerhana Matahari
Cincin pada kali ini telah merentasi 300 kilometer permukaan bumi.
Bayangan bulan akan menyentuh daratan Afrika dan menuju ke pulau
Maldives yang terletak di Lautan Hindi.
Negara
Maldives merupakan tempat gerhana yang terlama mencapai tempoh
annulariti iaitu sekitar 10 minit dengan koordinat longitude 73d 29m
00s Timur dan latitude 4d 10 m 00s Utara dengan ketinggian dari aras
laut sekitar 10 meter. Gerhana Matahari Cincin ini memiliki tempoh
annulariti yang paling lama dalam abad ini dan ia merupakan gerhana
matahari pertama yang kelihatan di China sejak 22 tahun. Sungguh besar
kuasa Allah SWT. Tidak begitu adik-adik? Allah telah menciptakan
sekalian alam ini dan Dialah jua yang berkuasa menentukan pergerakan
setiap cakerawala yang beredar mengikut apa yang telah ditetapkan
oleh-Nya. Sebagai manusia, kita hendaklah menggunakan akal fikiran kita
untuk mengkaji dan mempelajari maksud serta tujuan setiap apa yang
berlaku di muka bumi ini.
Jabatan
Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga turut menganjurkan Program Cerapan
dan Solat Sunat Gerhana Matahari (Solat Sunat Kusuf) dan cerapan
gerhana di empat buah masjid utama iaitu, Masjid Putra, Masjid Tuanku
Mizan Zainal Abidin (Putrajaya), Masjid Negara dan Masjid Wilayah
Persekutuan (Kuala Lumpur) bersama Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia
(Jupem), Institut Tanah dan Ukur Negara (Instun), Planetarium Negara,
Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, Jabatan Mufti Selangor.
0 comments: