Sunday, November 6, 2011

Posted By FST USIM | 0 comments

Seksualiti Merdeka Melangkaui Fitrah Manusia dan Syarait Islam





Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia mengucapkan tahniah kepada Polis DiRaja Malaysia kerana bertindak pantas mengharamkan program Seksualiti Merdeka yang dijadualkan akan bermula pada 9-13 November ini.

Memetik kata-kata Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar di dalam akhbar Berita Harian bertarikh 4 November 2011, “Sehubungan itu, mulai hari ini (semalam) kita akan menghentikan apa juga acara dalam program berkenaan, kita beri amaran kepada penganjur dan peserta supaya bersurai dan jika berdegil, tindakan tegas akan diambil termasuk menahan sesiapa saja yang terbabit."
Program Seksualiti Merdeka diadakan setiap tahun sejak 2008 bertujuan menuntut hak dan kebebasan golongan lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) mengamalkan gaya hidup pilihan mereka secara sah dan terbuka. Bertemakan ‘Queer Without Fear’, program berkenaan diadakan di The Annexe Gallery Pasar Seni di sini.

Kelompok pertama LGBT adalah mereka yang cenderung terhadap pasangan sejenis disebabkan faktor biologikal, penderaan-penderaan fizikal, seksual, psikologi, emosi dan mental atau faktor-faktor persekitaran yang lain.Kelompok kedua LGBT adalah mereka yang cenderung terhadap pasangan sejenis kerana celaru dalam orientasi seksualnya dan sengaja memilih pasangan sejenis.

SPMM menegaskan, kedua-dua kelompok dalam LGBT ini perlu kembali kepada fitrah manusia yang asal untuk kebaikan bersama. SPMM juga menolak sebarang usaha untuk menyebar amalan songsang ini dan menuntut 'hak asasi' sebagaimana yang dilaungkan oleh mereka. Mengiktiraf LGBT di Malaysia umpama membuka pintu kepada budaya pornografi, seks bebas dan penyebaran pelbagai jenis penyakit kelamin. Firman Allah SWT,

“Wahai orang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang beriman bersama-sama dengannya.” 
(Surah al-Tahrim, ayat 8) 

Hakikatnya, golongan LGBT  merupakan satu kelompok manusia yang memerlukan bantuan dan pertolongan. Mereka memerlukan bantuan untuk membawa mereka kembali ke pangkal jalan dan menjalani kehidupan normal sebagaimana manusia lain.

Sehubungan dengan itu, SPMM USIM menyarankan,

1. Usaha menyebarkan amalan seks songsang ini dibanteras sepenuhnya oleh kerajaan dan pihak berwajib.

2. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), NGO-NGO Islam dan lain-lain pihak samada Islam atau bukan Islam wajib membantu dan membimbing golongan ini supaya kembali ke landasan agama yang sebenar dan fitrah kemanusiaan.

3. Masyarakat awam tidak menyisihkan golongan ini malah memberi sokongan sepenuhnya untuk mereka berubah

Mohamad Razif Mohamad Fuad
Setiausaha,
Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia,
Universiti Sains Islam Malaysia

0 comments: