Wednesday, December 14, 2011

Posted By FST USIM | 1 comments
KUALA LUMPUR, 14 Dis: Persatuan Pengguna Pulau 
Pinang (CAP) menggesa kerajaan mengharamkan racun rumpai jenis Paraquat yang didakwa mengandungi toksik berlebihan yang boleh membunuh. 


Menurut Presidennya, S.M Mohamed Idris, racun yang turut diseludup di negara ini itu mempunyai kepekatan racun lebih daripada 40 peratus dan membahayakan pengguna khsusnya apabila disedut, bersentuh dengan kulit dan jika ditelan. 


"Keracunan yang amat tinggi dan kekurangan antidot membawa kepada masalah kesihatan yang serius, dan kematian akibat daripada pendedahannya. 


"Paraquat dikatakan sebagai racun pilihan bagi membunuh diri di negara ini," katanya.Menurut beliau lagi, Paraquat juga diketahui sebagai penyebab masalah kesihatan yang akut dan dalam jangka panjang seperti dermatitis teruk, kegagalan buah pinggang, kegagalan pernafasan, denyutan jantung menjadi cepat, melecur darjah kedua, kanser kulit dan penyakit Parkinson. 


Lebih bahaya ujarnya, Paraquat juga kekal dalam tanah dan sisanya dibawa dalam  larian air bersama mendapan, yang menjadikan bahan itu berpotensi untuk mencemarkan air bawah tanah.


Sebelum ini Jawatankuasa Kesihatan Perak dalam satu seminar mengenai paraquat baru-baru ini menggesa satu panel ditubuhkan untuk menangani isu penggunaan pendekatan holistik.Kerajaan Malaysia pada Ogos 2002, penah mengumumkan untuk mengharamkan Paraquat melalui proses menghapuskannya dalam tempoh dua tahun. Pengharaman itu kemudiannya ditarik balik akibat tekanan pasaran. 


"Kenapa pekerja pertanian yang terdedah kepada racun rumpai bertoksik ini yang terpaksa menanggung penderitaan akibat kesan buruknya manakala syarikat kimia pertanian dan industri pertanian terus mendapat keuntungan?" soal beliau lagi.Menurutnya, Kesatuan Eropah sudah pun mengharamkan paraquat kerana bahayanya kepada kesihatan meskipun digunakan mengikut arahan. Penghapusannya diperingkat global mungkin berlaku jika ia disenaraikan di bawah Rotterdam Convention on Prior Informed Consent (PIC). 


Walau bagaimanapun, kami menjangkakan lobi yang lebih besar oleh industri bagi memastikan racun rumpai itu tidak termasuk di bawah perjanjian itu.Sehubungan itu ujarnya, Kerajaan Malaysia perlu menguatkuasakan pengharaman sepenuhnya Paraquat dan mengawal aktiviti penyeludupan racun rumpai bertoksik ke negara ini."Kita perlu mempercepatkan ke arah amalan pertanian ekologi menggunakan kaedah pertanian asli dan kawalan serangga biologi. Menternak lembu di dalam ladang boleh membantu kawalan rumpai.“Utamakan rakyat dan bumi, bukannya keuntungan” seharusnya menjadi modus operandi bagi kerajaan penyayang," tegasnya.

1 comment: