Monday, July 9, 2012

Posted By FST USIM | 0 comments

Cerita Permat dengan Arang

Sekarang aku akan bukakan lagi satu pintu Hakikat
Aku akan ceritakan satu lagi cerita

Arang batu dalam lombong berkata kepada permata intan
"Wahai anda yang dikurnia dengan kemuliaan yang kekal

Kita bersahabat, dan diri kita adalah satu,
sumber wujud kita adalah sama
Tetapi aku mati di sini dengan tiada nilai

Anda diletakkan di atas mahkota raja-raja
Aku ini sangat keji dan dinilai lebih rendah dari tanah

Tetapi hati cermin terpesona oleh keindahanmu
Gelapku hanya menghitamkan dapur
Dan akhirnya aku terbakar

Semua orang meletakkan tapak kakinya atas kepalaku
Dan meliputi diriku dengan abu
Nasibku perlu sekali ditangisi

Adakah anda tahu apakah pati diriku ini?
Ianya ombak-ombak asap yang dikeraskan
Dikurniai dengan sepercik bunga api

Anda dalam keadaan dan rupanya seperti bintang
Keagungan timbul dari tiap-tiap sisi anda
Anda jadi cahaya mata raja-raja
Kadangkala anda menghiasi tempat yang bahaya

"Wahai sahabat yang bijaksana!" kata permata intan itu
"Tanah hitam, bila dikeraskan, menjadi mulia seperti zamrud.

Setelah berjuang dengan keadaan kelilingnya
Ianya matang dan jadi keras seperti batu.

Kematangan itulah yang menyebabkan aku bercahaya
Dan memenuhi dadaku dengan sinaran

Kerana dirimu tidak matang anda dihinakan
kerana dirimu lembut, anda dibakarkan

Hapuskan takut, duka dan bimbang
Jadilah keras seperti batu, jadilah intan!

Barangsiapa yang berjuang gigih dan berpegang teguh
Kedua alam ini bercahaya olehnya

Sekepal tanah adalah asal Batu Hitam
Yang diletakkan di kaabah
Pangkatnya lebih tinggi dari Sinai
Ianya dicium oleh orang hitam dan putih

Keagungan hidup terletak kepada kepaduan
Kelemahan adalah tidak berguna dan tidak matang."



Keterangan:

Puisi ini adalah 'penawar' kepada orang yang berjuang. Ia menunjukkan kepentingan kesungguhan dan keyakinan dalam kehidupan. Perjuangan yang dihadapi sebenarnya mendatangkan keuntungan kepada kita, kerana melalui perjuangan, diri menjadi semakin matang dan penuh dengan pengalaman.

Orang yang sentiasa dilanda kesusahan dalam perjuangan dan hadapinya dengan penuh kesabaran untuk mengatasi kesusahan itu, akan menjadi orang bersemangat jiwanya.

Perasaan putus asa, kecewa, lemah diri atau rendah diri perlu dibuang sejauh-jauhnya. Semua itu adalah racun yang bisa kepada diri.

Nukilan:
Sir Muhammad Iqbal
Rahsi-rahsia Diri (Asrar-i Khudi)


sumber:
http://www.rushdunk.blogspot.com


0 comments: